Sumbangan Derma Bagi Menyiapkan Bangunan Masjid


Kompleks Masjid Al Hikmah & Pusat Dakwah Islamiyyah menyeru kaum muslimin & muslimat menyahut seruan kami dengan memberi Lot Wakaf Tanah & Bangunan seluas SEJADAH atau LIANG KUBUR :

Anda boleh membuat pilihan berikut :

1. RM 150,00 = 1 kaki persegi

2. RM 100,00 = 2/3 kaki persegi

3. RM 50,00 = 1/3 kaki persegi

4. RM 25,00 = 1/4 kaki persegi


*Untuk Sebarang pertayaan sila hubungi :

-Ust. Wan Zainuddin Hj. Wan Yusuff
(Pengerusi Dana ) 012 988 2553

-Hj. Wan Hashim Wan Abdullah
(Bendahari) 013 996 0464

PERHATIAN :

Sumbangan ZAKAT dialu-alukan. Resit PELEPASAN CUKAI akan dikeluarkan, jika diperlukan.

AKTIVITI MASJID

Kuliah Tafsir setiap hari Jumaat,
masa: 08.30pg – 10.00pg,
oleh : Yang berhormat Ust.Muhamad b Mustapha.

Kuliah Aqidah dan Tasawuf setiap hari sabtu,
masa : selepas solat Magrib,
oleh : Ust. Wan Hassan b Wan Muhammad.

Kelas bahasa Arab setiap hari Ahad dan Selasa,
masa : 08.30 mlm – 10.00mlm,
oleh : Ust.Ghazali b Solleh.

Kelas Al-Quran & Lungatul Quran
setiap hari Sabtu,
masa : 09.00pg – 12.00tgh,
oleh : Ust. Wan Hassan b Wan Muhammad.

Pekej Musafir dan Pemantapan Shahsiah, keistimewaan dan
kemudahan :
Dewan Solat , Dewan Kuliah, Kembara Rohani dan
Distinasi Masjid YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abd.Aziz Nik Mat,
Perkampungan Tok Sehor Tumpat, Tok Kenali Kubang
Kerian, Pondok Pasir Tumboh,

Kuliah Tafsir oleh : Yang berhormat Ust.Muhamad b
Mustapha dan Kuliah Aqidah dan Tasawuf Ust. Wan
Hassan b Wan Muhammad.

Saturday, November 14, 2009

ISU PENAHANAN DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN

0
Insiden penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) mantan Mufti Perlis di tengah malam 1 November 2009 lalu adalah satu tindakan yang dikesali. Cara beliau ditahan oleh pihak JAIS bersama sejumlah besar anggota keselamatan amatlah menjengkelkan. Ia jelas menimbulkan persepsi buruk bahawa agensi penguatkuasa agama kita kurang professional dan berhemah dalam bertindak ke atas seorang tokoh agama yang disegani. Lebih parah, sebahagian masyarakat yang kurang menguasai pengetahuan Islam akan menjadi keliru dan penghormatan mereka kepada para ulama Islam juga akan luntur.

Beliau ditahan atas alas an mengajar agama tanpa tauliah. Namun, kami berpandangan bahawa tindakan JAIS adalah didorong oleh isu utama lain yang terpendam. Dr. MAZA dituduh sedang cuba mengembangkan aliran agama yang dinamakan Wahabi yang dianggap sesat dan memecahbelah umat. JAIS hanya mengiktiraf amalan agama mengikut mazhab Shafie. Maka, drama penahanan beliau tersebut hanyalah merupakan cebisan kecil dari konflik yang wujud. Tuduhan tersebut belumpun dibuktikan. Malah Dr. MAZA sendiri menafikannya.

Sebenarnya, isu ini bukanlah perkara baru. Ia telahpun menjadi isu usang yang sering diperbaharui semula berulang kali sejak beberapa dekad yang lalu. Ia telah mengakibatkan wujudnya aliran kaum muda dan kaum tua dalam pemikiran Islam di dunia Melayu suatu ketika dulu. Masyarakat Islam silam telahpun cukup serik melaluinya. Implikasinya mereka telahpun mencari formula penyelesaian secara terbaik. Lebih jauh lagi, masalah yang ditimbulkan bukanlah merupakan permasalahan pokok yang menjejaskan pegangan akidah seorang muslim. Ia hanyalah merupakan masalah kecil (furu’), khilafiyah dan bersifat pemikiran.

Pengalaman lalu memperlihatkan bahawa apabila isu ini dikendalikan tanpa memelihara adab al-ikhtilaf (adab berbeza pendapat), maka ia akan lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikannya. Akibatnya masyarakat Islam (apatahlagi masyarakat bukan Islam) akan bertambah keliru, porak-peranda dan mengorbankan nilai silaturrahim yang lebih aula dipertahankan.

Yang menjadi masalah adalah sikap para pendokong yang fanatik atau taksub dalam perkara-perkara cabang. Sepatutnya masalah ini tidak berbangkit lagi secara terbuka kerana ia telahpun menjadi sejarah. Biarlah ia dikaji dan dibincang oleh mereka yang berkelayakan, beramanah dan tahu menilai harga pemikiran ulama dan perbezaan pendapat mereka dalam masalah-masalah tertentu.

Kami tidak bersetuju dengan kaedah tindakan menahan beliau dilakukan. Pendekatan yang dilakukan adalah melampaui batas ke atas seorang ilmuan meskipun mungkin sebahagian pegangan dan pendekatan dakwah beliau tidak kita persetujui. Kaedah keras begini boleh menyebarkan sikap permusuhan dan ketegangan sesama umat Islam sendiri.

Sheikh Yusuf al Qardawi dan lain-lain ulama yang berwibawa pernah menyarankan supaya umat Islam lebih mengutamakan perkara usul berbanding furu’ dan khilafiyyah. Juga perlu lebih mengutamakan persaudaraan dan keharmonian berbanding perpecahan dan konflik berasaskan prinsip fiqhu al aulawiyyat.

Justeru, sepatutnya kelompok prihatin kepada Islam perlu lebih memberi perhatian kepada isu-isu lebih utama seperti kezaliman, rasuah, pembunuhan, fitnah, pembohongan, pendustaan, penganiayaan, ketidakadilan dan perzinaan yang berlaku.

Sebagai contoh, dikemukakan pendirian dan pendekatan dakwah Buya HAMKA, seorang ulamak besar, pendokong aliran Muhammadiah – sebuah pertubuhan Islam dominan di alam Melayu dan amat dihormati di dunia Melayu. Beliau yang kerap datang ke Malaysia menyampaikan dakwahnya, telah bersama-sama mengangkat tangan membaca qunut ketika solat subuh lantaran menghormati amalan masyarakat Islam setempat.

Berasaskan pandangan di atas, BIPPA ingin mengemukan enam langkah penyelesaian:

1. Kita perlu memahami fiqh kehidupan bersama orang lain yang berbeda pendapat hatta yang yang berlainan agama dengan kita.

2. Kita perlu menggunakan pendekatan wasatiyyah (keseimbangan dan kesederhanaan) dalam menyelesai segala konflik pemikiran seperti yang digesa di dalam Al-Quran.

3. Semua pihak perlu menghadapi pelbagai aliran mazhab pemikiran umat Islam ini dengan jiwa penuh silaturrahim, bertolak ansur dan menghormati kepelbagaian yang wujud.

4. Institusi-institusi agama seperti Jakim, Jabatan Agama Islam, Pejabat Mufti dan lain-lain agensi agama sewajarnya kerap mengadakan muzakarah secara ilmiah dan terbuka, telus dan adil dengan pelbagai pihak yang dianggap menimbulkan kontroversi agama.

5. Pihak penguatkuasa agama Islam di semua jabatan perlu diberi latihan dan keilmuan sewajarnya mengenai undang-undang berkaitan dan bagaimana mereka boleh melaksanakan tugas secara professional dan beretika.

6. Pendekatan yang berasaskan prinsip maqasid syari’ah (matlamat terakhir syari’ah) hendaklah diutamakan demi kesucian syari’ah itu sendiri. Lantaran itu, pendekatan menghukum hendaklah dijadikan pilihan terakhir.

Semoga peristiwa di atas menjadi ibrah kepada semua pihak. Kita juga berharap agar JAIS sebagai pihak berkuasa agama yang diamanahkan menjaga urusan agama untuk rakyat di Negeri Selangor tidak membiarkan diri diperalatkan oleh mana-mana pihak lain yang bermotif politik. Apatah lagi jika pihak tersebut dengan sengaja berniat untuk memburukkan atau memecahbelahkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang ada. Sekian.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
3 November 2009

Cabaran Membentuk Kesepakatan Bina Identiti Peradaban Malaysia.

0
Wujud banyak cabaran di dalam agenda membina peradaban Malaysia. Cabaran paling utama ialah membentuk satu kesepakatan pemikiran mengenai identiti peradaban itu sendiri. Perkara ini menjadi satu cabaran kerana beberapa faktor.

Pertama kerana kepelbagaian latar kependudukan masyarakat Malaysia yang terbentuk oleh beberapa komposisi kaum. Seperti yang kita ketahui, ketika Malaysia di bawah pemerintahan penjajah Inggeris, latar kependudukan masyarakat berubah dan berkembang.

Pembangunan ekonomi di Tanah Melayu pada waktu itu mendorong penghijrahan yang amat ramai ke negara ini terutama di kalangan kaum Cina dan India. Pada masa sama, masyarakat Melayu iaitu kaum utama juga terbahagi kepada beberapa kumpulan etnik seperti Iban, Kadazan, Dayak dan Dusun.

Kini, selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, semua kaum dan etnik ini diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. Semua kita kini sudah menjadi sebahagian keluarga besar masyarakat Malaysia. Sebagai satu keluarga besar, semua kita yang juga pada masa sama, mewakili satu entiti kebudayaan yang tersendiri mempunyai ruang dan hak saksama dan diiktiraf oleh perlembagaan.


Di samping faktor kepelbagaian latar belakang penduduk seperti yang dinyatakan di atas, masyarakat Malaysia juga memiliki kerencaman daripada sudut nilai dan pemikiran. Perkara ini adalah faktor kedua yang menjadi cabaran di dalam agenda membentuk identiti peradaban Malaysia.

Secara umumnya, nilai dan pemikiran masyarakat Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa pola atau aliran. Aliran pertama sering diistilahkan di dalam diskusi ilmiah sebagai 'tradisional'. Ia merujuk kepada suatu bentuk cara hidup masyarakat yang amat menekankan kepada asas-asas warisan di dalam kehidupan mereka.

Asas warisan ini selalunya dipengaruhi kepercayaan agama dan nilai mulia yang diperturunkan secara berterusan daripada satu generasi ke generasi lain sejak zaman berzaman. Asas warisan ini amat penting bagi mereka yang dibentuk oleh pola atau aliran tradisional. Ia harus dipertahankan dengan sesungguhnya.

Asas-asas warisan ini adalah teras yang membentuk identiti sesuatu kaum atau etnik. Asas ini juga sering dirujuk sebagai jati diri sesebuah masyarakat. Ia juga adalah garis penentu yang akan membezakan antara satu kaum atau etnik dengan yang lain.

Sekiranya asas warisan ini lemah dan kendur, ia akan memberi kesan terhadap ketahanan jati diri sesuatu kaum atau etnik. Malah, akibat yang paling parah sekali ialah masyarakat terbabit akan mengalami krisis identiti. Andainya krisis identiti tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa masyarakat kepada keadaan hilang identiti.

Bagi aliran liberal, nilai-nilai hidup moden boleh membawa masyarakat kepada kemajuan hidup yang sebenar. Oleh kerana itu, masyarakat harus menyandarkan cara hidup mereka kepada struktur nilai dan pemikiran moden yang dicapai oleh masyarakat maju pada hari ini dan pada masa sama, perlu menolak nilai-nilai hidup yang bertentangan dengan cara hidup moden.

Inilah antara dua faktor yang menjadi antara hambatan dalam cabaran membentuk kesepakatan pemikiran mengenai identiti peradaban Malaysia yang ingin dibina.

Sejak akhir-akhir ini, pertembungan antara kaum dan aliran berfikir di kalangan pelbagai perkumpulan semakin meninggi dan jurang perselisihan juga semakin menebal. Beberapa perkara seperti permasalahan rumah ibadat, bahasa dan isu perundangan, sekiranya ditangani secara tidak berhemah boleh menjadi pencetus kepada perselisihan antara masyarakat Malaysia.

Apakah penyelesaian kepada cabaran membentuk kesepakatan pemikiran di dalam kepelbagaian dan kerencaman yang wujud ini bagi mengelakkan fenomena pertembungan yang telah dilihat dan dialami sejak akhir-akhir ini di negara kita? Secara umum, penyelesaiannya boleh dilakukan menerusi beberapa langkah dan ikhtiar.

Pertama, tuntutan membina satu kerangka teras mengenai watak atau identiti peradaban Malaysia dari sudut falsafah, nilai dan kebudayaannya. Watak dan identiti ini harus bersifat inklusif atau terbuka yang memberi ruang saksama kepada seluruh kepelbagaian dan kerencaman yang wujud untuk berkembang.

Dalam hubungan ini, beberapa prinsip asas seperti aspek kepercayaan rasmi dan amalan demokrasi hendaklah disepakati dan dihormati semua pihak sebagai prinsip asas peradaban Malaysia. Prinsip asas lain kebanyakannya sudah pun tercerna menerusi Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, keperluan kepada pengukuhan pola atau aliran nilai dan pemikiran yang bersifat sederhana diperluas dan diperkembangkan di dalam kehidupan masyarakat. Ia boleh diperkukuhkan menerusi pembentukan satu Piagam Etika yang diterima oleh seluruh perkumpulan masyarakat dan kepercayaan agama.

Ketiga, kepentingan untuk proses perluasan budaya dan amalan dialog di dalam masyarakat Malaysia. Perkara ini harus bermula dengan penerapan kefahaman mengenai dialog sebagai satu ilmu yang amat penting dipelajari.

Ini bagi memastikan supaya sebarang bentuk perselisihan dan pertembungan di dalam apa juga isu dan permasalahan di negara ini ditangani menerusi kaedah berdialog atau berbincang.

Ketiga-tiga langkah ini adalah lontaran umum yang memerlukan banyak perincian dan diskusi berterusan. Namun, ia boleh menjadi sebahagian bahan berfikir bagi kita merancakkan semula wacana mengenai peradaban Malaysia. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi pencetus kepada debat berterusan mengenai persoalan penting ini yang dilihat sejak akhir-akhir ini semakin gersang.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
Thursday, November 12, 2009

Mendamba Keberkatan Menerusi Pengorbanan

0
Alhamdulillah – umat Islam di seluruh pelusuk dunia bakal mengumandangkan lagi kalimah-kalimah suci Tasbih dan Tahmid, mengagong dan mengesakan Allah swt. Apatah lagi kita selaku makhluk yang serba lemah dan sentiasa berhajat kepadanya.

Bila disebut tentang Hari Raya Haji atau Korban, ingatan kita tentunya kepada peristiwa bersejarah iaitu Pengorbanan nabi Ibrahim as dan Ketaatan nabi Ismail as.
Kesetiaan nabi Ibrahim terhadap perintah Allah menyembelihkan anakandanya Ismail as ini turut disertai malaikat Jibril dengan alunan takbir Allahu Akbar, disambung oleh nabi Ibrahim dengan lafaz La ilaaha illallahu wallahu akbar serta disambut oleh Ismail dengan kalimah Allahu Akbar Walillahil Hamd.

Subhanallah – suatu kombinasi hebat menggambarkan sejenis pengorbanan yang bukan kepalang dan peristiwa itu mendapat perhatian langsung dari Al-Quran. Firman Allah swt;
“ Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar”. Al-Shaffat: 106-107.

Sesungguhnya apa yang terjadi ke atas nabi Ibrahim dan Ismail merupakan ujian yang mendambakan kesabaran, ketabahan, kesetiaan dan pengorbanan. Peristiwa di atas punyai pengajaran dan pengiktibaran yang maha hebat buat umat Islam yang dikurniakan aqal untuk berfikir, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hati untuk menangkap isyarat-isyarat ketuhanan berupa kebaikan dan keburukan.

Ruh pengorbanan yang ditanam dalam dada umat Islam sebenarnya mampu mengikis kecenderungan sifat keakuan; iaitu suatu sifat mazmumah yang tidak memberi ruang kepada sifat kekitaan malah cenderung mengeksploitasi kedudukan untuk kepentingan peribadi. Dalam keadaan tertentu ianya akan menjadi lebih parah bilamana sifat keakuan ini tidak bersedia untuk melakukan kompromi, kalaupun berlaku ia mestilah ‘aku yang lebih dulu’. Penyakit keakuan seperti ini, kiranya dibiarkan akan menumbuhkan keinginan bahkan nafsu besar mengeksploitasi apa saja, siapa saja dan dimana saja untuk kepuasan runtunan hawa nafsu. Bila mana nafsu berkuasa dan berpengaruh maka segala-galanya akan ditentukan berdasarkan meterialistik ( ukuran material ) dan hedonistic ( keseronokan ).

Umat Islam perlu belajar untuk mendahulukan kepentingan ramai. Sifat kekitaan dalam konteks dunia hari ini adalah satu kewajipan yang memerlukan pengorbanan. Lantaran itu Rasul saw ketika hampir menemui ajal masih lagi mengungkapi kalimah ummati ummati ( umatku-umatku ) bukannya nafsi nafsi ( diriku-diriku ). Sedarlah wahai umat Islam, keengganan kita berkorban meruntuhkan perkara-perkara yang membinasakan seperti mengikut telunjuk hawa nafsu, kagum dengan pendapat sendiri akan mengakibatkan kehancuran manusia. Keserakahan nafsu telah mengakibatkan eksploitasi sesebuah bangsa ke atas bangsa yang lain. Orang miskin seringkali ditindas manakala orang kaya selalu menindas. Orang kerdil yang mengharapkan ihsan dan belas kasihan diperah dan dikerah tenaga oleh orang yang berpengaruh dan berkedudukan. Demikianlah nasib umat yang berada dibawah pengarauh orang besar yang terpenjara dengan sifat keakuannya.

Baginda Ar-Rasul saw telah memperingatkan umat Islam terhadap ancaman ananiyah “ keakuan” ini lewat sabdanya yang bermaksud:

“ Hati-hatilah kamu dan jauhilah dari kebakhilan yang telah menghancurkan umat sebelummu. Kekikiran telah mendorong mereka untuk memutuskan hubungan silaturahim dan mendorong mereka berbuat kejahatan”. – riwayat Abu Daud dan Al-hakim

Hadis di atas mengisyaratkan bahawa sifat Keakuan yang membawa kebakhilan itu benar-benar telah mendorong mereka memutuskan silaturrahim dan berbuat kejahatan.

Dalam konteks kita, masyarakat dan Negara sedang mengalami krisis komunikasi social ( krisis hablun minnas ) yang sangat parah. Inilah akibat wabak keakuan dan kebakhilan yang telah membudaya dalam hidup. Saudagar-saudagar besar akan terus mengaut keuntungan tanpa mempeduli kerugian-kerugian peniaga-peniaga kecil. Golongan kapitalis akan terus memunggah harta kekayaan milik umat dan Negara tanpa terdorong rasa untuk menolong golongan marhain yang susah terbiar. Akhirnya jurang social antara yang kaya dan miskin melebar, yang perpendidikan dan tidak berpelajaran memanjang dan yang di Bandar dan di desa akan terua menjarak.

Di sudut yang lain wabak keakuan dan keangkuhan juga boleh terjelma menerusi lembaga berupa rezim berkuasa. Sebagai contoh AS telah menghancurkan sisa-sisa peradaban Kota Bagdad dengan dua kota ilmunya Kufah dan Bashrah. Keangkuhan dan keakuan AS jugalah telah memaksakan definasinya sendiri terhadap apa itu terorisme padahal merekalah yang dianggap “ the real terorisme” .

Kalau inilah kita; masyarakat, negara dan ummah. Apakah sebenarnya yang kita perlukan untuk kebaikan umat. Kebaikan bagi umat tidak boleh dicapai serta merta dengan ramainya bilangan orang tetapi berantakan sama sendiri, silang sengketa bak retak menunggu belah. Kebaikan umat hanya akan dapat dicapai menerusi umat yang cintakan pengorbanan. Semua peringkat sanggup berkorban; golongan atasan, menengah dan rendah. Kita menanti-nanti munculnya pejuang-pejuang yang mencintai pengorbanan. Bak kata Syeikh Syahid Hasan Al-Banna tidak ada pejuang tanpa pengorbanan, Pejuang sejati adalah yang rela siap siaga untuk berkorban; baik harta, tenaga, fikiran , waktu, kedudukan maupun nyawa. Tadhiyah dalam konteks penceritaan sejarah nabi Ibrahim dan Ismail adalah bukti tertinggi seorang pejuang sejati yang tunduk dan taat kepada perintah Allah swt.

Malah al-Quran mengabadikan sejarah bahawa kemenangan serta keberkatan hidup adalah hasil dari sebuah pengorbanan. Pengorbanan bonda Nabi Musa ketika melepaskan putra kesayangannya ke arus sungai demi menepati janji Allah daripada menuruti keinginan perasaannya mendakap putra yang disayangainya. Dengan pengorbanan yang tulus itulah maka akhirnya terjadi….

“ kami kembalikan Musa kepadamu dan kami mengangkatnya menjadi salah seorang rasul “.

Kekuatan iman dan keikhlasan nabi Ibrahim as, disaat mengorbankan putra kesayangannya dengan tangannya sendiri telah melayakkannya untuk menerima surat pengiktirafan dari Allah swt sebagai imam bagi manusia.




Kemenangan Tholut dan tenteranya yang tinggal sedikit akibat bencana yang dashyat, turut dicatat al-Quran sebagai hasil pengorbanan ‘Fiah Qalilah’ kelompok kecil dari tentera tholut. Mereka berjaya melakukan pengorbanan moral yang besar mengalahkan nafsu meminum air dalam keadaan yang sangat dahaga serta kehabisan air. Demi ketaatan pemimpin dan menjaga disiplin tentera, mereka tidak minum air sungai yang mengodakan itu. Maka mereka mampu mengalahkan tentera jalut yang jauh lebih banyak bilangan serta perkasa dengan izin Allah swt.

Pengorbanan generasi pertama umat Islam mempertahankan pegangan aqidah, keyakinan risalah ketuhanan, menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia tanpa penat dan lelah, mengorbankan segala-galanya demi menjulang Islam sebagai agama yang paling ulung wajar terus menjadi aspirasi buat umat Islam pada hari ini agar meneladani kembali sejarah dan tokoh agung umat dan bersedia membina generasi muda hari ini mencontohi personality dan qudwah berharga demi survival ummah dan generasi akan datang.

Semoga ruh tadhiyah – semangat pengorbanan mampu menganjak kita agar menghayati falsafah kurban disebalik perayaan hari raya qurban pada tahun ini.


Selamat Menyambut ‘Idil Adha dan Salam Pengorbanan
Delighted designed by ZENVERSE | TouchUp By SyahiranMuhd